Thursday, August 12, 2010

Mengenali Ary Ginanjar Agustian

Siapa Ary Ginanjar Agustian? Pada awalnya, tidak ramai yang mengenali siapa Ary Ginanjar Agustian. Terutama di Malaysia. Namun, menjelang Julai 2010, Ary Ginanjar Agustian dan trainingnya iaitu ESQ165 mula mendapat tempat di dada-dada akhbar. ESQ dan Ary Ginanjar semakin dikenali adapila kontroversi modulnya mula dibicarakan secara terbuka dan akhirnya di fatwakan sebagai menyeleweng oleh Mufti Wilayah Persekutuan

Pertama kali saya mendengar nama Ary Ginanjar Agustian adalah sewaktu saya diberikan buku tulisan beliau oleh suami saya, sekitar Mei 2004. Buku itu berwarna putih dengan tajuk Rahsia Sukses Membangkitkan ESQ POWER Sebuah Inner Journey Melalui Al-Ihsan.

Saya memang seorang yang cintakan buku dan sanggup berhabis duit untuk membeli buku setiap bulan. Terutamanya karya-karya penulis barat yang menjadi best seller. Namun, buku yang diberikan suami saya kali ini, lain dari biasa. Satu, kerana penulisnya bukan nama yang saya kenali dan yang keduanya, ia buku dalam bahasa Indonesia! Satu kejutan buat saya kerana tidak pernah suami saya, yang berkelulusan dari England memberikan saya buku dari negara serumpun ini. Namun menurut beliau, buku itu dihadiahkan oleh kawannya dengan kata-kata, ”Ia akan mengubah hidup anda!”.

Sewaktu membaca buku ESQ POWER, perasaan dan pemikiran saya seolah mengalami satu kejutan. Kejutan yang sangat kuat dan menggoncang keyakinan dan semangat hidup yang saya pegang selama ini. Sewaktu itu, sebenarnya saya dalam krisis yang berat. Selama lebih dari 3 bulan, saya istiqamah berdoa dalam solat tahajud dan hajat. Saya berdoa dan meminta kepada Allah supaya saya ditemukan dengan jawapan kepada permasalahan yang sedang saya hadapi serta ubat yang dapat mengubat hati.

Sesungguhnya hidup saya saat itu sangat tertekan dan gelisah... saya mencari-cari sebab untuk apa saya dihidupkan? Sedangkan nanti jika bersalah akan dihukum dan menanggung akibatnya yang pastinya tidak akan mampu saya hadapi. Suami dan anak-anak. kasih sayang mereka menambahkan gelisah di dada. Saya bimbang kehilangan kasih, hingga takut untuk memberi. Saya gelisah melihat kehancuran masyarakat, hingga merasa untuk apa saya melahirkan anak yang akan terdedah kepada kehancuran demi kehancuran. Saya melihat dunia tidak mempunyai harapan. Hanya menanti saat kehancurannya.

Ya, masih ramai manusia yang baik di dunia ini. Peluang untuk membuat kebaikan juga masih banyak dan tidak ada yang menghalang. Tetapi, bagaimana dengan 10 tahun nanti, 20 tahun, 30 tahun mendatang? Jika sesuatu tidak dilakukan dengan drastik, anak-anak saya atau mungkin cucu-cucu saya akan pasti tidak dapat mengelak dari kehancuran masyarakat yang semua orang tahu semakin memburuk tanpa penyelesaian. Mengapa kenyataan ini tidak ada yang berani bertanggungjawab, malah sebaliknya cuba ditutup dan tidak diperbincangkan. Peratus perceraian yang semakin tinggi, anak-anak yang mengalami tekanan sejak dari usia dini, ibu bapa tidak bertanggungjawab dengan pendidikan moral anak-anak apatah lagi spiritual dan agama. Pemimpin yang saling menjatuhkan. Jumlah pengidap sakit jiwa yang meningkat dan jumlah kes bunuh diri yang tidak terbendungkan. Apatah lagi jika melihat masalah dadah dan jumlah anak muda yang hancur kerananya.

Ramai manusia yang baik hanya untuk diri mereka sendiri. Seolah masing-masing mencari syurga hanya untuk diri sendiri. Masalah jiran, malah adik-beradik sendiri bukan lagi tanggungjawab mereka. Hidup seperti ini sangat perit untuk dilalui. Jika bukan kerana iman yang masih tersisa, pasti saya sudah menderita jiwa waktu itu... namun, dalam kegelisahan itu, Allah seolah terus memujuk, membelai dan memerhatikan... memberi harapan dan keyakinan bahawa semua itu ada jawapannya. Hinggalah apabila saya menemui dan membaca buku ESQ.

Saya melihat buku itu sebagai buku biasa, namun anehnya… kesannya pada diri saya sungguh luar biasa. Jiwa dan hati saya yang selama ini seolah mati, tiba-tiba mula hidup semula. Saya yang selama ini melihat dunia dari sudut yang negatif, mula merasa melihat cahaya yang membawa rasa bahagia di hati yang telah lama tidak saya rasakan. Secara perlahan-lahan, jiwa yang mula hidup mendorong badan saya bergerak dan bertindak. Saya mula lebih ikhlas menyayangi dan mencintai insan di sekeliling saya tanpa lagi memikirkan apakah kasih dan cinta saya nanti akan dibalas atau tidak. Saya mula memikirkan apa yang boleh dilakukan untuk merubah masa depan masyarakat, tidak hanya menangisi dan merisaukan sesuatu yang belum tentu berlaku. Dengan izin Allah pastinya... buku ESQ POWER telah menghidupkan hati dan pemikiran saya. Hal ini pada saya menjelaskan mengapa ia menjadi buku best seller di Indonesia.

Namun di sebalik buku dan isinya yang sangat menyentuh dan merubah hidup saya, saya masih tertanya-tanya sendiri... dari manakah datangnya ilmu begini? Siapakah sebenarnya penulis buku ini? Siapakah dia yang hadir di tengah kegelisahan dan pencarian? Bagaimanakah dia mampu menulis buku sebegitu indah dan meleraikan segala kekusutan di hati? Dari manakah dia mendapat ilham untuk menghuraikan makna Ihsan yang begitu dalam dan tidak pernah saya fahami sebelum ini? Siapakah dia? Dan dalam kekaguman itu,juga timbul satu soalan yang sangat tajam di hati saya... yang gagal saya nafikan terus menuntut saya mencari jawapannya. Saya didatangi secara konsisten oleh satu persoalan iaitu... apakah penulis buku ini sebaik apa yang ditulisnya? Sesungguhnya saya telah selalu bertemu dengan orang-orang yang pandai bercakap dan menulis perkara yang bagus, tetapi apabila saya mula mengenali peribadinya… kata-katanya tidak lagi indah didengar dan pemikiran-pemikiran mereka tidak dapat diyakini sepenuh hati. Sangat mengecewakan.

Melalui iklan di dalam buku ESQ, saya mengetahui bahawa Ary Ginanjar bukan hanya penulis buku tetapi juga seorang trainer yang memberi pelatihan yang diberi nama ESQ Training. Atas dorongan mencari jawapan siapakah beliau, saya dan suami ke Indonesia untuk mengikuti Training ESQ sebagai jalan untuk saya mengenali Ary Ginanjar dari dekat. Desember 2004, kami ke Padang Indonesia. Kami mengikuti ESQ Training selama 4 hari di sana.

Kini telah berlalu lebih 5 tahun sejak pertemuan pertama saya dengan Ary Ginanjar. Dalam tempoh waktu itu, saya telah mendapat kesempatan untuk mengenali beliau dari dekat. Persoalan-persoalan yang sebelum ini bermain difikiran saya, semakin hari semakin terjawab… Keranan itu, tanpa ragu saya dan suami telah membawa ESQ Training masuk ke Malaysia dan sehingga kini telah lebih 65 ribu rakyat Malaysia mengikuti pelatihan yang sungguh luar biasa ini. Kegelisahan saya pada masa depan rakyat Malaysia tidak lagi meragut kebahagiaan hidup saya kerana saya kini mempunyai sesuatu untuk diusahakan.

Setiap kali training ESQ berjalan, saya melihat anak-anak kecil menangis menyebut nama Allah, suami isteri yang ingin bercerai kembali berbaik semula setelah selesai training, anak-anak yang menderhakai ibu dan ayahnya selama ini menangis memohon maaf, pekerja-pekerja yang malas dan tidak bertanggungjawab mula rajin dan setia pada syarikat. Majikan yang sombong dan tidak prihatin mula memperbaiki pendekatannya kepada pekerja. Ramai yang menangis kerana merasai kebahagiaan apabila mengenali dirinya, mengenali siapa yang menciptakan dan untuk apa ia diciptakan. Hingga hidup mempunyai makna, pekerjaan mempunyai erti dan masalah bukan lagi kehancuran…

Dalam masa 4 tahun, ESQ training telah berkembang dengan sangat pesat di Malaysia. Kesan dari training itu telah berjaya mengubah sebahagian besar kehidupan mereka yang mengikutinya. Bagaimana erti hidup sebenarnya dapat membawa kebahagian yang dicari sekian lama. Bagaimana masalah rumahtangga dapat diselesaikan, pembangunan modal insan di syarikat-syarikat, anak-anak yang tidak mendengar kata kembali taat dan patuh kepada orang tua. Mereka yang kekosongan, terasa terpenuhi keinginannya apabila menyedari hakikat kehidupan. Malah yang tidak percaya kewujudan Tuhan, kembali bersyahadah dan mengakui Allah itu Esa. Dari masyarakat biasa kepada pemimpin dan para cerdik –pandai, ulama hingga kepada golongan selebriti. Semuanya mengikuti pelatihan ini. Sesungguhnya bagi saya, ini satu fenomena luar biasa.

Siapa Dr Ary Ginanjar Agustian sesungguhnya? Dari seorang ahli karate, dia menjadi pensyarah kemudian beralih menjadi seorang peniaga yang berjaya. Namun, akhirnya semua ditinggalkan apabila beliau menemui model The ESQWay165. Seluruh hidupnya kemudian diperuntukkan untuk menyebarkan nilai-nilai 165. Dalam masa 10 tahun, beliau telah melatih hampir 1 juta alumni di Indonesia, Malaysia, Singapura, Brunei, Australia, Amerika. Mengubah kepercayaan (belief) hingga membentuk karakter baru ribuan jiwa. Memberi makna hidup dan membawa manusia kepada kehidupan yang lebih baik. Apa rahsia kejayaan beliau? Bagaimana seorang penulis buku dan trainer ini boleh menyumbang kepada perubahan bangsa Indonesia dan mendapat sambutan sangat menggalakkan di Malaysia dan Negara-negara lain? Apa pemikiran dan pengalamannya yang boleh dikongsi oleh semua? Apa sebenarnya harapan dan pendorong beliau berjuang tanpa jemu? Apakah cabaran-cabaran yang beliau hadapi dan bagaimana beliau mengatasinya?

Sesungguhnya, mengenali beliau adalah seolah membuka sebuah album perjuangan yang sungguh getir dan masih jauh perjalanannya. Menyelami perasaan dan pemikirannya, menjadikan saya terbangun dari lena… apakah beliau harus dibiarkan berjuang sendiri? Untuk bangsa dan masa depan kita semua? Kenyataannya, beliau adalah kita, kita adalah beliau. Apa yang dilakukannya adalah sebenarnya apa yang hati kita semua mahukan. Cuma yang membezakan, dia berjuang dengan segala kerahan tenaga yang ada, pantang menyerah!. Sedang sebahagian dari kita masih berfikir teori dan falsafahnya…

Saya sajikan tulisan ini, hanya kerana ingin berkongsi semangat yang saya rasakan berguna untuk bangsa Malaysia. Di samping, memberi jawapan kepada satu persoalan yang menjadi sebab bermulanya semua usaha ini,, iaitu… siapakah Ary Ginanjar Agustian? Apakah peribadinya sebaik hasil tulisan dan trainingnya? Apakah sesungguhnya dorongan yang membuatkan beliau terus menghabiskan 90 peratus dari waktunya untuk mendidik masyarakatnya? Mengapa beliau begitu yakin, generasi emas yang akan menjadikan hidup sebagai pengabdian kepada Allah akan berjaya diwujudkan?

Jawapannya akan anda temukan apabila anda mula menganali beliau. Walaupun penulisan ini masih belum lengkap dan ada kekurangannya tetapi ia sebuah permulaan untuk kita semua, meneroka pemikiran-pemikiran Ary Ginanjar Agustian, seorang tokoh muslim yang mengamalkan iman, Islam dan Ehsan dalam setiap saat hidupnya. Yang bercita-cita dan berusaha membawa nilai Islam, Iman dan Ihsan tidak hanya sekadar hafalan tetapi juga menjadi penyelesaian kepada masalah perniagaan, pentadbiran, pendidikan, masyarakat, rumahtangga hingga kepada membangun bangsa. Sesungguhnya perjalanan hidup Ary Ginanjar adalah sebuah pencarian yang penuh ilmu dan hikmah yang tidak rugi kita mengambil pelajaran darinya.

Yang baik itu dari Allah dan yang salah dan lemah itu dari diri saya. Teruskan membaca..

Monday, July 5, 2010

Bermula Sebuah Kisah... Pengharaman ESQ di Wilayah

Berita ini aku terima dengan perasaan berbaur.. walaupun ia sesuatu yg telah dijangkakan, tetapi aku masih tetap merasa berat menelannya. bagaimana setelah mendapat sokongan dari majoriti mufti di Msia dan penubuhan panel aqidah dan syariah, esq tetap dijatuhkan hukuman yag cukup berat ini. Walaupun pahit, aku tetap menerima hakikat kehidupan yg memang sentiasa ada dugaan dan cabaran. Hatiku tiba-tiba terdetik untuk mengetahui respon masyarakat. Tanpa membuang masa, aku melayari internet dan melihat pelbagai komen diutarakan. Ada yg menyokong pengharaman, ada yg berkecuali dan tidak kurang juga yg bersungguh2 mempertahankan. Tanpa sedar, air mataku menitis... inilah gambaran dunia... inilah realiti masyarakat hari ini... aku mendapat iktibar yg banyak dari apa yg kubaca hari ini. Aku menutup internet dan membuka fail yg berkaitan modul esq. Aku perhatikan setiap modulnya. Aku cari intipati dari setiap modul. Aku menyusunnya dalam bentuk matrik. Subhanallah... walaupun atas apa nama sekalipun diberikan padanya... yg kulihat adalah penanaman keyakinan kepada Allah... kepada Rasulullah... kepada hari akhirat... cukuplah ini untuk menguatkan keyakinanku... walaupun ramai yg tidak akan mengerti apa yg aku ucapkan tetapi yg penting hatiku sendiri kini bertambah yakin. Aku mengucap syukur pada Allah.

Belum sempat aku menutup komputer, hp ku berbunyi menandakan ada pesanan ringkas yg masuk. Aku membacanya. Allahuakbar... alhamdulillah... terima kasih ya Allah... ini berita yg cukup membahagiakan aku... sms dari salah seorang trainer esq yg sedang memberikan training di Sabah. Sms itu menkhabarkan bahawa, 2 orang dari peserta training bukan Islam telah melafazkan syahadah... Mungkin ini hiburan dari Allah di saat ujian yg diberikannya. Di saat esq dituduh membawa ajaran liberal dan pelbagai lagi tuduhan yg menyayat hati, Allah memberikan hiburan ini... terima kasih ya Allah...

Mungkin tak ramai yg mengetahui sejarah esq, bagaimana ia masuk ke Malaysia... mengapa ia dibawa masuk dan apa kesannya setelah lebih 3 tahun di sini. Bagi yg membenci... itu hak mereka yg akan mereka sendiri pertanggungjawabkan di hadapan Allah nanti. Bagi yg membela, juga itu antara mereka dengan Allah... di hadapan Allah nanti kita semua akan sendiri, menjawab pertanyaan dari Dia yg mengetahui setiap gerak hati, mengetahui setiap inci pergerakan dan menilai setiap tindak yg kita lakukan.

Aku menulis bukan untuk membela esq.. aku menulis sekadar untuk meluahkan apa yg ada di dalam hati. Sebagai orang yg sangat dekat dan mengenali dan mengetahui sejarah kemasukan ia ke malaysia, aku tidak mampu hanya berdiam diri. Izinkan aku bercerita... untuk sesiapa yg mahu membacanya...